"Apa Salah Mereka? "


Suara tangisan sang bayi setelah melihat dunia buat pertama kali, adalah suara yang sangat merdu dan paling dinanti oleh sesebuah pasangan. Bayi yang suci ini hanya menangis disebabkan persekitaran yang berubah. Namun, langit tidak selalunya cerah. Ada di antara bayi yang baru dilahirkan tidak diterima oleh darah dagingnya sendiri. Maka tidak hairanlah mengapa isu tentang pembuangan bayi sering terpampang di medan akhbar.

Isu ini telah berkembang seperti cendawan tumbuh selepas hujan semenjak tahun 2010 apabila sebanyak 697 kes pembuangan bayi telah dilaporkan.Bayangkan bagaimana pula nasib bayi bagi kes yang tidak dilaporkan. Bayi yang tidak bersalah yang tidak mengerti apa-apa dibuang seperti tiada harga.

Hal ini bertambah parah,apabila ada yang sanggup membunuh bayi terlebih dahulu sebelum membuangnya. Ada juga kes yang melaporkan bahawa seorang bayi yang baru dilahirkan dibiarkan di dalam tandas awam. Bayangkan seorang bayi yang masih kecil ditinggalkan dalam keadaan yang sejuk sendirian. Dimanakah sifat kemanusiaan itu?

"Jikalau tiada angin masakan pokok bergoyang" sengaja saya petik peribahasa melayu ini, masalah pembuangan bayi banyak melibatkan golongan remaja lingkungan umur 18 hingga 21 tahun. Sesungguhnya Allah juga ada berpesan agar kita menjauhi 7 jalan zina. Tetapi nafsu lebih kuat berbanding larangan Allah.

Saya ingin tegaskan bahawa bayi itu sama sekali tidak bersalah. Jadi adakah adil untuk mereka diberi layanan begitu?,sedangkan mereka tidak pernah meminta untuk dilahirkan ke dunia ini. Zuriat itu adalah rezeki, jika kita angkuh dengan rezeki yang diberi-Nya maka kita berada dalam kerugian.

Ulasan

Catatan Popular